Hilang jejak...

Hilang jejak...

Wednesday, November 25, 2009

Upacara berjalan serentak, dan aku mahu naik ke pentas..? ah!

.


  • Hari penyampaian hadiah untuk Paku Payung pada kali ini berjalan serentak di Sekolah Kebangsaan dan di sekolah KAFA. Kedua-duanya telah bermula pada pukul 8am, hari Jumaat lepas.

  • Paku Payung terpaksa pilih untuk hadir salah satu dari dua upacara yang berjalan serentak itu. Dia telah pilih untuk hadir ke upacara di KAFA. Hmm... dah macam YB pulak.

  • Paku Payung dan Mama pergi menghadirkan diri di KAFA, sedangkan aku mewakilinya di Sekolah Kebangsaan. Di situ, aku bertemu dengan kawan-kawan. Aku kata yang aku sebagai wakil untuk ambik hadiah. Salah seorang kawan tanya balik, betul ke aku nak naik pentas? Dia kata, tak pernah dibuat orang bapa budak ambik hadiah! Ye ke? Aku terus batalkan niat untuk naik ke pentas. Aku beritahu kepada penyelia majlis untuk batalkan nama Paku Payung dari senarai penerima hadiah. Penyelia itu kata, datang ambil hadiah bila majlis selesai.

  • Aku bergegas ke KAFA untuk melihat upacara di situ. Dan aku masih sempat kerana ucapan guru besar dan wakil jabatan negeri agak panjang. Aku lihat Paku Payung segak berjalan di pentas untuk mengambil hadiah... yang berupa sehelai tuala biru.

  • Setelah sudah, kami bertiga bergegas semula ke Sekolah Kebangsaan dan upacara baru sahaja selesai. kami sempat melihat aturcara terakhir yang berupa persembahan tarian 60-an...???

  • Aku rasa seperti kurang selesa, kenapa tarian 60-an? Lagu 'Bunyi Gitar' pulak tu, tarian twist! hahaha... Aku faham, kanak-kanak memang sukar untuk dikawal kelincahan mereka dan persembahan paling mudah adalah tarian rancak seperti itu.

  • Tetapi, kenapa tarian twist 60-an? Kenapa tak 'zapin ayam patah' yang tak kurang juga rancaknya... ye lah, kalau persedian itu 6 bulan awal, mungkin boleh. Ini pasti persediannya dalam satu malam je...







.

Sunday, November 22, 2009

Dan Sabtu itu, hari mendung dan gerimis hingga ke petang

.



  • Hari Sabtu kelmarin, petang Sabtu untuk lebih tepat, setelah bungkusan hadiah bertukar ke tangan Ashley di BBB, aku minta permisi... gua ada hal... hahaha.


  • Kami sekeluarga membawa diri ke puncak bukit di Putrajaya. Setelah membayar pengeras sebanyak RM2 seorang (kecuali Paku Payung), kami panjat kaki bukit Taman Warisan menuju ke puncak. Kami lalui celah-celah pohon-pohon buah-buahan (baru aku tahu, Integra adalah genus spesis untuk cempedak/nangka, dan Musa adalah untuk pisang).


  • Kami panjat bersama-sama dengan sekumpulan pelancong dari Eropah. Paku Payung kata, orang putih semakin banyak di Malaysia, itu mungkin salah satu tanda kiamat... banyak la dia punya tanda kiamat, balas aku pula...


  • Sesampai di puncak, kami singgah di ladang getah. Aku ceritakan, dulu-dulu aku toreh getah untuk duit kocek, semasa bercuti sekolah. Dan dia tak sempat merasai itu semua kerana lahir dan membesar di kota metropolis yang memang banyak polis dan trafik...


  • Kemudian kami membawa diri ke sebuah tasik, kami singgah di Wetland pula. Baru pertama kali kami ke situ. Baru aku tau, di situ boleh memancing. Aku sapa seorang pakcik, yang secara hemahnya aku bahasakan dirinya 'abang', yang sedang leka merenung riak air dan batang jorannya. Aku tanya, dapat ikan apa? Dia tunjukkan sesuatu di gigi air, ada karung ikan yang bergerak-gerak. Aku jengok-jengah sambil meneka. Dia suruh aku angkat ke atas karung ikan itu. Aku capai talinya dan aku tarik ke udara. Itu ikan Keli Afrika, katanya. Aku tunjukkan kepada Paku Payung ikan keli yang aku anggarkan seberat 1.5kg itu.


  • Kami bersembang seketika di bawah renyai hujan, dia buka payung sedangkan aku buka minda aku untuk menerima rintik hujan seadanya. Aku kata, aku selalu memancing di sungai, aku tak biasa memancing di tasik. Dia kata, dia pun selalu memancing di sungai, dulu-dulu semasa masih kuat dan muda. Dan aku dapat agak, dia telah melewati usia persaraannya. Dan aku lihat, dia lebih banyak menukar batang rokoknya berbanding umpan pada jorannya...


  • Aku pergi ke pemancing lain, yang lebih muda dan aku panggil dia 'bro' je. Seperti biasa, soalan pertama yang keluar dari mulut aku ialah ikan apa? dan banyak? Dia juga tunjukkan ke karung ikan yang terendam dalam air tasik itu. Ikan Lampam Sungai, katanya. Dan aku lihat banyak juga namun paling besar pun hanya sebesar 4 jari. Aku kata, 3 kali goreng boleh lepas ni. Dia kata, ikan-ikan tu semua akan dibuat pekasam. Pekasam???


  • Aku tak tahu orang Putrajaya pandai buat pekasam / wadik. Dia mengekek ketawa. Isteri yang pandai buat pekasam, katanya. Dan serta merta aku teka dalam hati yang isterinya itu orang Perak atau orang Banjar...


  • Dan kami tinggalkan mereka berdua. Dalam minda, aku asyik berfikir tentang kehidupan mereka: apa kerja mereka. Apa yang mereka lakukan semalamnya, esoknya. Siapa keluarga mereka, dari mana asal mereka. Bagaimana mereka bertemu...





... tempat 'MELATAK' kereta. Apa bendenya tu?




.

Thursday, November 19, 2009

Ego seorang suami... ataukah bodoh?

.


Dari dulu lagi, sejak kasih janji terikat bersaksi wali, Mama selalu memuji, kuntuman Ros itu cantik. Aku akui, kuntuman Ros itu memang cantik tetapi berduri. Begitulah.

Dan dari sehari ke sehari, Mama juga berkata kuntuman Ros itu menarik dan cantik, setiap kali terpandangnya. Ya, memang cantik tetapi tak tahan lama seperti kuntuman plastik, kata aku. Begitulah.


Tengahari semalam, aku teringat kembali kata-kata Mama. Aku belek betul-betul kata-kata Mama. Dan aku dapati, aku tertinggal sesuatu diantara bait-bait ayat itu. Aku gagal membacanya dengan betul. Aku singkap begitu sahaja. Dan aku mula sedar.



Lalu aku pacu kuda api aku laju-laju, seluruh kedai-kedai sekitar Kota Kemuning aku selidiki, satu persatu. Tiada. Aku singgah makan di restoran mamak tanpa WiFi. Ketika membayar harga makanan, aku tanya mamak, di mana ada kedai bunga? Dia tercangak-cangak beberapa ketika... tak pasti. Dia toleh kepada seorang lelaki yang berumur mungkin lewat 40an yang sedang memilih makanan, di mana ada kedai bunga? Lelaki itu memandang tepat kepada aku sambil berfikir... tidak pasti, katanya. Kedai bunga plastik adalah, tambahnya. Tak apa lah, balas aku.


Selesai bayar, aku pecut lagi. Aku selusuri kembali jejak-jejak tadi, aku kira mungkin aku terlepas pandang. Dan, memang sah... tiada. Aku belok ke blok perumahan dan deretan kedai yang lebih jauh. Aku pusing-pusing lagi... tiada.


Aku pusing lagi, ke Bukit Rimau... tiada. Aku ambil keputusan, aku pergi ke Sri Muda, walau aku terpaksa berpatah balik sekitar 7km. Aku pecut laju. Dalam hati aku kata, kalaulah aku eksiden pun, niat aku lebih utama daripada segala-galanya. Misi aku tentang Mama lebih utama. Mama adalah segala-galanya.


Akhirnya aku temui. Aku beli sedozen kuntuman Ros pelbagai warna kerana aku tak pasti, warna mana yang Mama suka. Ya, aku lelaki bodoh yang tak pernah tahu. Dan dalam terkocoh-kocoh aku seluk kocek seluar, aku tulis rangkap cinta pada sekeping kad menggunakan pen magic warna kelabu yang aku 'seludup' keluar dari Kota Permai:

We had a wonderful life together... and I want it to last forever, because I LOVE YOU. Terima kasih kerana sudi menjadi teman hidupku, sayang
.


Aku pesan kepada Cina tua itu, sila berikan kepada Mama sebelum pukul 3:00pm dan aku serahkan alamat rumah aku kepadanya.


Aku pecut semula ke Kota Permai, walau aku terpaksa membuat 'U' turn sejauh 7 km lagi, aku puas. Sepanjang jalan, aku tersenyum... dan mata aku menakung air jernih. Kenapalah baru sekarang aku sedar!!?? Aku memang bodoh!


Kenapa hanya baru sekarang aku faham luahan hati Mama?
Hanya selepas 11 tahun....!!!!!?????????? Ahhh..... bodohnya aku!!!!





Mama,

Terimalah bunga-bunga Ros kegemaranmu.
Terimalah cinta kasih sayang yang telah kutitipkan bersama-samanya.

Sebelas tahun berlalu dan selama itulah juga rasa terpendam.

Sungguh tinggi kesabaranmu, aku kagum dengan kekuatanmu.
Dan kalaulah aku bisa kembali ke zaman kita mula bertemu.
Kalaulah boleh, pasti akan aku tebus segala-galanya.

Maafkan aku, Mama...









[Terima kasih Syed Reza Ali, maaf kerana terlewat untuk aturcara petang tadi]


.

Wednesday, November 18, 2009

Aku seekor ikan Puyu...

.


Aku umpama seekor ikan Puyu.

Aku berenang naik ke permukaan kolam untuk meneguk udara buat mengisi kantung nafas, buat seketika.


Dan buat seketika juga, aku melihat-lihat dunia di daratan sana.




Sebelum aku kembali menjunam ke dasar kolam.

Aku kembali menyelam ke dasar lumpur.

Dasar kolam yang sejuk, kelam dan sunyi...





Maaf.



.

Thursday, November 12, 2009

MAAF

.

..............................................................................................................



MAAF
.
.
.
.
SKRIN INI TIDAK AKAN DIUBAH
TANPA ADA BATASAN TARIKH DAN MASA
MAAFI AKU
...
..
.
.
....................................................................................................

Tuesday, November 10, 2009

Lautan yang amat dalam ada dalam dada kamu...

.


Ada satu lautan. Sangat dalam. Tapi, orang tak nampak dalam atau tidak sebab orang berdiri di pantai. Dia cuma nampak ombak. Dia cuma tahu lautan itu dalam. Itu pun sebab ada orang lain yang beritahu bahawa lautan itu dalam. Dia tak pernah menyelam. Jadi, dia tak pernah tahu berapa dalam lautan yang satu itu.


Dulu. Aku pernah berhayut dari K.Kangsar ke T.Intan selama 4 hari 3 malam. Berkayak. Dan singgah pada tebing-tebing tertentu untuk berkhemah.


Ada orang kata. Sungai itu sangat dalam. Sangat banyak lubuknya. Tapi orang itu tak pernah berdiri dalam sungai itu. Sungai itu memang dalam. Tapi, dia tak tahu berapa dalam sungai itu.


Dulu. Semasa berhayut di sungai itu. Aku berada di tengah-tengah sungai itu. Dan kayak aku tersangkutkan sesuatu. Tak boleh bergerak. Lalu aku turunkan kaki aku. Dan aku berdiri di tengah-tengah sungai itu. Dalamnya cuma separas betis (atau lutut kamu). Dan aku sempat basuh kayak aku. Aku telah turun ke sungai itu dan aku tahu, sungai YANG ITU ada beting pasir di tengah-tengahnya. Yang dalam adalah di kedua-dua belah tepi sungai itu.


Ada orang kata. Mana-mana sungai pun tak dalam sebenarnya. Orang tua-tua kata, cuma separas dada itik...








[tribute to Dr. Asri]

.

Sunday, November 8, 2009

Menyentap segala sensori kudup hidung

.


Paku Payung unjukkan sarung bantalnya kepada Mama. Bukan calang-calang sarung bantal. Itu sarung bantal busuknya, bantal yang sering dipegang dan dipeluk ketika tidur. Dan dia mahu ianya dibasuh!


Semasa sarung bantal itu berpindah tangan di bilik tidur itu, aroma-aromanya menyengat ke lubang hidung. Menyentap-nyentap kesemua kudup-kudup sensori hidung. Itu bukan aromaterapi, okey...


Bayangkan, kalaulah sarung bantal itu dipekup pada hidung Mama, aku syak Mama akan pengsan!


Bukan kerana tak dapat bernafas tetapi menahan nafas, tak sanggup menciumnya...




.

Saturday, November 7, 2009

Postmortem yang sadis...

.



Malam itu, aku pandang Mama, Mama pandang aku. Jagad hanya termenung tetapi tenang. Setenang air di kolah mandi, tenang menunggu. Aku masih was-was nak teruskan. Aku unjukkan pada Mama, Mama kata dia rela basuh dari potong. Ok, sebagai lelaki yang bertanggungjawab, aku akan lakukannya untuk kebaikan bersama.






Aku sarungkan sarung tangan getah, bukan selapis tapi dua lapis. Aku tak mahu darahnya nanti menyerap ke dalam kulit mulus aku. Dan aku minta Mama sarungkan sebelah lagi kerana aku tak mahu cemarkan tangan-tangan aku.





Dengan lafaz nama Tuhan yang Agong, aku pegang pisau yang tajam. Tanpa was-was, aku benamkan mata pisau itu ke dalam daging yang lembut itu, masih segar. Darah mengalir lesu. Aku keluarkan segala isi perutnya. Aku potong mana-mana bahagian yang aku tak mahu.


Lebih kurang 15 minit, segala-galanya selesai. Kini tugas Mama pula untuk membersihkan kesan darah dan bahagian-bahagian tubuhnya yang tidak diperlukan lagi. Yang lainnya, Mama masukkan ke dalam peti sejuk.




Dan Jagad masih tenang melihat segala-galanya. Tiada esakkan, tiada raungan keluar dari mulutnya...











... walau aku tahu seekor kucing tak akan tahan melihat ikan yang segar.


.

Empuk bagai dimamah ulat




.







Itu,


Kerusi empuk yang kosong.

Dan pintu kayu yang tertutup.

Mana pergi orang-orang nya?




















.

Friday, November 6, 2009

Air suam untuk pagi yang sehat

.


Inilah wawasan orang kita.
Pagi bersarapan ala kadar: beberapa kerat roti Perancis dan air suam. Sekadar mengalas perut.



10.00am. Buat air di pejabat dan beberapa keping biskut kering.

"Pekat air kopi tu bang..?"
"Takpe, pagi tadi minum air suam je..."



1.15pm. Makan tengahari.

"Aik, teh ais pulak..?"
"Alaaa... pagi tadi aku minum air suam je...!"




4.30pm. Buat air di pejabat (lagi).

"Segelas lagi air kopi....?"
"Aku pagi-pagi amalkan minum air suam je, kira ok la..."



8.30pm. Lepas makan malam.

"Yang, buatkan air kopi O 'kaw' secawan..."

"Kesian ye, pagi-pagi sarapan dengan air suam je..."





.

Thursday, November 5, 2009

Death by Powerpoint

.



Kadang-kadang orang tanya aku, betul ke aku pergi training....


Aku malas nak jawab lebih-lebih, aku lekat kat sini. Biarkan gambar mencerita seribu kisah. Dua gambar maknanya dua ribu kisah...
Dan..... ok, tulisan aku macam 'cakar ayam'. Jangan gatal nak kutuk pulak.




.

Tuesday, November 3, 2009

Kisah Tiga Naga

.


Ada tujuh karang yang timbul. Setiap satunya berwarna noda dan dosa.


Tujuh, yang setiap satunya timbul di setiap lautan. Mersik bau narawastu laut masih tak mampu menutupi hanyir noda dan dosa.


Tujuh karang itu hanyut sejauh laut kalzum, ditiup tofan dari seruling gempa.


Pada jagad ini tinta kalam tertumpah setitik, merubah warna menjadi hitam.


Naiklah hawa panas dari jagad tumpahan tinta hitam, menguwap membentuk fatamorgana, dilihat dari gelemaca.


Gelemaca-gelemaca kepunyaan Tiga Naga...







.

Sunday, November 1, 2009

Pada tidur yang panjang dan hari yang suram...

.


Petang semalam, balik dari rumah KakPah aku baring sekejap untuk tenangkan kepala, kononnya. Hari redup, rintik kasar. Lepas Asar, aku baring depan TV, bantal Jepun empat segi yang dah kemek aku tindan 2 buat alas kepala aku. Hari redup dan tenang... sungguh tenang. Langsir pun tertutup separa. Mata aku pun sama...



Tetiba, dari kejauhan, sayup-sayup di corong telinga, aku terdengar awek Perancis memberitahu aku: " At.ten.si.on sms... "

Mata aku terus bulat. Aku bangun dan capai handphone, ada sms dari dak Tasek Merah. Sepantas kilat aku balas (aku pun tak tahu apa yang aku balas, aku mamai lagi...). Aku letak balik handphone di sisi.

.
.
?
?
?



Aku toleh ke belakang, Mama dan Paku Payung dah tak ada. TV terpasang tapi bisu. Lampu semua terpadam. Aku lihat ke luar tingkap, suram! Aku lihat jam Seiko pada dinding: 6.50!


6.50am!???

Nak kena Mama ni. Sanggup dia biarkan aku tidur sorang-sorang di ruang tamu semalaman! Kesejukkan bawah kipas!




Aku bangun, aku jenguk di dalam bilik tidur. Aku nampak Mama dan Paku Payung enak tidur di atas tilam empuk Dreamland dan bed-topnya harga seribu dari jenis 'memory sponge' dan cadar oren kain kapas berbunga stail Inggeris tapi buatan China.


Tak lama kemudian, awek Perancis tu melalak lagi. Sms balas dari dak Tasek Merah. Aku belek jam pada handphone: 18:55






Huh! Buat peranjat je...


Aku capai tuala dan terus mandi...





.

Saturday, October 31, 2009

BB Bangi... siang tadi.

.

Dan akhirnya.... aku sampai juga ke rumah KakPah. Terima Kak Ashley kerana bagi panduan jalan ke sana...

Pada kad undangan, peta yang dilukis ialah dari tol Bangi sedangkan aku dari Utara. Jadi, sebelum bergerak ke sana, aku telefon M.Alwie (kawan) yang tinggal di BB Bangi. Aku tanya dia, kalau 3/6ABC, mana satu seksyennya: seksyen 3 atau seksyen 6?

Walau aku tak nampak dia tapi aku tau dia mesti garu-garu kepalanya. Dia tak pasti... Ceit!


Dia tanya aku balik, apa landmark yang ada. Aku belek balik peta tu, aku sebut nama 3 masjid dan surau yang tertera pada peta.

Walau aku tak nampak dia tapi aku tau dia mesti garu-garu kepalanya. Dia tak pasti... Ceit! 2x.


Aku gagahkan diri ke BB Bangi, niat aku baik, jadi aku tawakkal. Kalau dah rezeki memang tak kemana. Sesampai sahaja susur keluar ke BB Bangi dari jalan Putrajaya - Kajang, Kak Ashley telefon! Dan dengan mudahnya, aku dapat ke rumah KakPah melalui 'peta' dari Kak Ashley. Dan baru aku tau, situ rupanya Seksyen 3 BB Bangi... hahaha.



Tapi sayang, aku tak dapat sembang lama dengan Kak Ashley dan KakPah. Tadi aku pening kepala sebenarnya. Malam tadi aku baru perasan, dah 2 minggu aku tak tonton TV hatta berita sekalipun! Mungkin aku kurang tidur agaknya...


Atau mungkin juga kerana aku telan Buah Tunjuk Langit sebelum aku berangkat ke rumah KakPah.



Tasek Merah sms aku, dia tanya macam mana rupa buah tu (entri sebelum ini pun aku ada cerita pasal buah ni). Kerana permintaan dari Tasek, aku tempek kat sini:





Buah tu ada berkeping-keping di dalamnya, macam kepingan buah Angsana. Kena pecahkan kepingan nipis tu dulu barulah dapat keluarkan isinya yang saling tak tumpah macam kuaci biji labu. Saiznya pun lebih kurang sama kalau tak besar sikit.


Rasanya pahit. Memanglah begitu. Dan aku akan pecah-pecahkan 'kuaci' tu atas tapak tangan sebelum letakkan di atas lidah. Lalu aku jirus dia dengan segelas air, terus masuk ke dalam tanpa kunyah. Biar tali perut aku yang kunyahkan untuk aku.






.

Friday, October 30, 2009

Kena pukau akhirnya...

.


Hari ke-3 aku di sini.


Setiap akhir sesi akan ada de-briefing, dimana setiap orang akan berpasangan dan berjalan-jalan dari dinding ke dinding. Apa yang ada pada dinding?

Setiap flip-chart yang telah berconteng akan dilekatkan pada dinding. Setiap dari kami akan bercerita kepada pasangan masing-masing tentang apa yang telah diajar dengan merujuk kepada flip-chart itu.


Dan aku berkesempatan untuk berpasangan dengan awek itu. Maka kami pun berjalan-jalan segenap penjuru dinding dan bercerita. Dia cerita kat aku, aku cerita kat dia. Kemudian, aku terfikir nak pukau secara 'mirroring'! Saja nak uji keberkesanannya...


Bila dia angkat tangan kiri, tanpa dia sedar, aku angkat tangan kanan.

Bila dia tuding telunjuk kanan ke kertas flip-chart, tanpa dia sedar, aku tuding dengan telunjuk kiri kepada flip-chart sebelahnya.

Bila dia peluk tubuh, selang beberapa saat kemudian, aku pun peluk tubuh.

Bila dia langkah dengan kaki kanan, aku ikut sebelah dia tapi langkah dengan kaki kiri.

Kemudian, aku berhenti dari mirroring....





Pada flip-chart terakhir, kami berdiri bersebelahan. Kemudian, aku masukkan tangan aku ke dalam kocek seluar....

Tak lama kemudian, dia pun ikut masukkan tangan ke dalam kocek seluar !!! ( err... seluar dia la..).


Melihatkan itu, aku tak mampu menahan ketawa. Aku ketawa agak kuat.

Dan dia akhir sedar yang aku dah established rapport dengannya... dengan kata lain, dia dah kena 'pukau' ...


'... menyampah la abang ni...!'

Katanya... dalam senyum. Hahahaa..





.